Assalammualaikum.
Kisah Mistik : Apa Yang Tak Kena Dengan Orang Kat Depan Aku Ni Ya? Astaghfirullah!!!!
Hai, apa khabar semua pembaca blog? Terima kasih kerana sudi meluangkan sedikit masa anda di blog aku ini. Aku amat menghargai sokongan daripada anda semua dan aku ucapkan, Terima kasih..
Aku sentiasa berdoa agar kita semua sentiasa dirahmati Allah SWT.
Amin!
Perkara mistik adalah sesuatu perkara yang berlaku, yang kita sendiri tidak dapat jelaskan menggunakan perkataan. Apatah lagi jika ingin menggambarkan sesuatu yang telah berlaku, tanpa bukti kukuh sebagai bahan sokongan. Pasti orang lain sukar mempercayainya.
Tapi... Tak kira sama ada anda mempercayainya atau pun tidak, kes mistik ini terus dilaporkan. Malah, ia tidak terhad kepada wilayah tertentu sahaja tetapi kepada seluruh dunia.
Atas sebab ini, pelbagai kajian saintifik menggunakan peralatan moden seperti EVP dan EMF turut dijalankan untuk membuktikan kesahihannya. Malangnya, segala usaha yang dilakukan tidak membuahkan hasil yang positif sehingga hari ini.
Sifatnya yang misteri dan sukar dibuktikan inilah yang menyebabkan ramai orang semakin tertarik dengan cerita mistik seperti ini.
Pembaca yang dihormati,
Maafkan aku, yang telah bercerita panjang lebar tentang Mistik ini yang sememangnya penuh dengan misteri dan rahsia yang masih belum terbongkar. Justeru, tanpa berlengah lagi, jom ikuti kisah mistik seterusnya yang benar-benar menimpa mak aku.
Aku tidak akan pernah lupa kisah yang berlaku pada penghujung tahun 1994 , kerana itulah kali pertama aku melihat mak aku berasa takut. Mak yang aku kenal adalah seorang wanita yang berani dan sukar untuk menunjukkan perasaannya.
Pada malam kejadian, aku berada di rumah bersama papa dan adik-beradik aku . Ketika itu aku sedang membaca novel penyiasatan kegemaran aku, Siri Hadi. Papa dan adik-beradik aku yang lain, shima dan Jah, sedang menonton televisyen di ruang tamu.
Oleh kerana cuaca agak panas pada malam itu, aku sengaja biarkan pintu dapur terbuka dan membaca buku aku di atas kerusi kayu di sebelah pintu dapur sementara menunggu mak pulang dari kedai runcit Pakcik Salleh.
Sebenarnya malam tu mak pergi kedai pakcik Salleh bukan nak beli barang dapur. Tujuan mak ke sana hanya untuk menggunakan pondok telefon yang terletak di sebelah kedai pakcik Salleh. Kedai Pakcik Salleh terletak hampir 1 kilometer dari rumah kami , tetapi mak memilih untuk berjalan kaki untuk ke sana. Bila ditanya papa nak hantar tak? Mak menolak, katanya bersenam.
Untuk pengetahuan anda, mak aku seorang mualaf berbangsa Cina . Mak memeluk Islam selepas berkahwin dengan papa. Pada tahun 1985 , Papa mendapat tawaran menjadi salah seorang peneroka di Felda Lui Selatan dalam daerah Jempol di Negeri Sembilan .
Sementara itu, keluarga mak aku ketika itu tinggal di Jalan Kebun Teh di Johor Bahru . Kerana merindui keluarganya, mak telah keluar menelefon mereka malam itu.
Novel di tangan malam itu hampir separuh dibaca. Aku menguap menahan rasa mengantuk sambil mata memandang ke arah dinding. Jam menunjukkan hampir pukul sepuluh malam.
" Mana mak ni? Tak balik-balik lagi dari tadi ni..." getus hatiku.
Sedang asyik membaca sambil menguap, Aku dikejutkan dengan bunyi tapak kaki berlari di hadapan pintu dapur, kemudian bunyi pintu dapur dihempas.
DuMmmmm......!!
Terkejut dengan apa yang aku dengar, aku terus meletakkan novel yang aku baca dan mendapati mak duduk di kerusi sebelah aku. Nafasnya turun naik dengan sangat laju. Belum sempat aku bertanya kepada mak apa yang berlaku sehingga dia dalam keadaan begitu, papa yang berada di ruang tamu tingkat atas turun ke dapur.
"Kenapa ni? Kena kejar hantu ke?"
tanya papa kepada mak dengan nada bergurau. Pucat betul muka mak dan dia masih tercungap-cungap. Setelah berasa sedikit tenang, mak menjawab soalan papaku tadi.
" Tak payah kejar hantu tu bang.. Saya yang ikut hantu tadi!!"
Aku hanya terbeliak mata mendengar kata-kata mak. Sambil-sambil mendengar mak bercerita tentang kejadian yang menimpanya kepada papa. Aku yang turut dihimpit rasa ingin tahu hanya diam dan mendengar, tidak berani menyampuk cerita orang tua itu.
Apa yang telah berlaku kepada mak aku sebenarnya?
Ini ceritanya.....
Selepas dia selesai menelefon keluarganya, dia bergegas pulang. Sebelum pulang, mak sempat singgah di kedai pakcik Salleh untuk membeli sebotol air mineral. Selepas membayar harga air mineral itu, mak segera memulakan langkah untuk pulang ke rumah.
Semasa dalam perjalanan pulang, mak memberitahu kami bahawa tiada apa yang pelik berlaku. Walaupun ketika itu tiada lampu jalan, mak tidak berasa takut kerana cahaya bulan sangat terang pada malam itu. Lagipun mak tak rasa risau sebab dia dah standby lampu picit yang dia bawa dari rumah.
Ketika menghampiri simpang tiga di hadapan Sekolah Rendah Lui Selatan, mak ternampak 'seseorang' keluar dari simpang sekolah itu dan memotong untuk mendahului. Jadi kedudukan mak sekarang di belakang 'seseorang'. Mak akui, dia berasa sedikit lega dengan kehadiran 'seseorang' itu, dia tidak berjalan seorang diri pada waktu malam. Padahal orang di hadapannya berada 50 meter di hadapannya.
Tetapi perasaan lega yang dirasai oleh mak tidak berpanjangan. Apabila dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan 'seseorang' yang berjalan di hadapannya itu.
"Apa yang tak kena dengan orang kat depan aku ni... Ya??" Mak mengomel sendiri.
Mak cuba melihat dengan lebih teliti 'seseorang' yang berada di hadapannya ketika itu. Mak mengerling ke arah 'seseorang' itu sambil berkata dalam hati
(ada kaki... ada badan....
tangan dengan bahu pun ada....)
Mana kepala dia???? Mak yang sudah menggigil ketakutan memerhati lagi..
" Astaghfirullah..... HANTU!!!!
Mak terus menjerit... Kerana ketika kali kedua dia melihat kepala 'seseorang' itu berada di tangannya dengan rambut panjang mengurai.
Tanpa menunggu lagi, mak segera mengorak langkah seribu. Mak mengambil jalan pintas dengan memasuki halaman rumah jiran sambil berlari seperti lipas kudung menuju ke rumah.
Sejak kejadian yang mak alami, dia tidak lagi berani berjalan seorang diri pada waktu malam. Kalau bukan kerana papa menghantarnya menaiki motor, sudah pasti aku yang akan menemani ibu setiap bulan pergi ke pondok telefon untuk menelefon keluarganya.
Mengenai apa yang mak lihat malam itu, tiada siapa yang tahu apa itu. Cuma kawan-kawan mak ada bagitahu sebelum merdeka, tempat kami tinggal, dulunya adalah kem tentera Jepun tempat penjenayah dipancung. Sama ada betul atau tidak, aku pun tidak tahu.
Tetapi apa yang aku tahu......
✅ kita tidak boleh berjalan sendirian pada waktu malam, di kawasan gelap
terutamanya wanita dan kanak-kanak. Tindakan seperti ini amat berbahaya kepada keselamatan nyawa sendiri.
✅ Sentiasa ingat untuk mengutamakan keselamatan anda sendiri, dalam apa jua yang anda lakukan."
Harap anda telah terhibur dan belajar sesuatu yang berguna di sini. Semoga kita berjumpa lagi di siaran akan datang.
Assalamualaikum!
Ulasan
Itulah masa tu ramai yang beritahu macam tu.