Assalamualaikum..
Kisah Seram Lucu : Mie... Tolong Akak Ada Hantu Kat Sini! -
Para pembaca yang dirahmati,
Kebanyakan orang bila sebut sahaja hantu atau cerita seram mistik, kita mesti terbayangkan sesuatu yang hodoh dan menggerikan, betul tak ? Macam mana kalau aku katakan tak semuanya macam tu dan ada juga kisah seram yang lucu. Anda semua tak percaya? Jom teruskan pembacaan anda.
foto sekadar hiasan |
Anda semua masih ingat lagi tak pada cerita yang lepas di mana aku ada bercerita tentang cerita 'Apek Tua' tanpa wajah tu ? Peristiwa itu berlaku di pertengahan tahun 2003.
Pada masa itu aku baru mula bekerja dan kerja pertama aku itu ialah sebagai operator kilang. Untuk pengetahuan anda aku hanya bekerja di kilang tersebut selama setahun, sebelum aku mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada pertengahan tahun 2004.
Keputusan ini terpaksa aku lakukan kerana pada ketika itu, pihak pengurusan kilang telah berpindah tangan. Bos besar yang baru berasal daripada negara Thailand. Bila sudah bertukar bos baru ini, pastilah ada pros dan cons dia.
🟣 Kebaikannya ialah kerja menjadi lebih ringan kerana syarikat menggajikan lebih ramai pekerja asing. Jadi kerja yang agak berat tu memang diberikan kepada pekerja warga asing untuk dikerjakan.
🟣 Keburukannya pula ialah tiada lagi overtime dibenarkan. Semua kerja overtime ini telah diberikan kepada pekerja asing kerana kadar upahnya yang jauh lebih murah berbanding pekerja tempatan.
Oleh sebab itulah, aku telah memulakan pekerjaan baru aku sebagai seorang juruwang di sebuah pasaraya di Taman Tunku Jaafar, pada bulan Ogos 2004. Memulakan kerja di sini bermaksud aku telah secara rasminya bergelar seorang anak rantau.
Aku sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan. Di tempat kerja baru ini aku menerima gaji pokok RM 480, jika dicampurkan bersama overtime dan elaun.. gaji bersih yang aku bawa pulang pada masa itu, di kategorikan sebagai cukup lumayan.
Ini kerana rata-rata gaji pokok yang ditawarkan oleh kebanyakan syarikat di tahun itu ialah RM400. Walaupun kedengaran kecil angkanya, tapi pada masa itu, ianya sudah cukup untuk menampung perbelanjaan. Harga barang pada masa itu juga tidak semahal sekarang.
Di tempat kerja baru inilah aku telah telah berkenalan dengan seorang gadis yang bernama NIZ. Dia merupakan seorang gadis cantik berketurunan melayu, berkulit cerah dan tinggi lampai orangnya. NIZ ini merupakan teman pertama yang aku kenali setelah bergelar anak rantau. Hubungan kami ini hanyalah sebagai adik beradik angkat.
NIZ merupakan anak kedua daripada tiga beradik yang kesemuanya perempuan. Sejak dia kecil lagi ibu dan bapanya telah berpisah. Menggalas tugas sebagai ketua keluarga yang telah kosong, ibunya terpaksa bekerja sebagai seorang tukang sapu di sebuah hospital di Seremban. Sebagai pendapatan sampingan, ibunya turut rajin membuat kuih muih tradisional untuk dijual di sekitar taman perumahan tempat mereka sekeluarga tinggal.
Oleh itu tanpa berlengah lagi, setelah tamat sahaja SPM, NIZ telah mula bekerja di pasaraya tempat kami bekerja bagi membantu meringankan beban keluarga mereka. Oleh kerana pasaraya berkenaan hanya berjarak 700 meter sahaja daripada rumahnya, dia hanya berjalan kaki untuk ke tempat kerja. Sering juga NIZ mengadu diganggu oleh siulan-siulan nakal anak-anak muda yang tinggal di taman perumahannya.
Disebabkan itulah, aku yang pada ketika itu tinggal menyewa di Taman Pinggiran Senawang, selalu menemani NIZ pulang jika masing-masing bekerja full shift.
Kebiasaannya selepas tamat waktu bekerja pada pukul sepuluh malam, aku akan memarkir motor aku di hadapan rumah seorang teman yang terletak di sebelah pasaraya tersebut.
Sebelum kami bersama berjalan kaki menuju ke rumahnya. Selepas menghantarkan NIZ pulang, aku akan berpatah semula ke rumah teman aku untuk mengambil motorsikal aku tadi dan pulang ke rumah.
Pernah juga aku mencadangkan kepada NIZ untuk menghantarkan dia pulang dengan motor sahaja lebih mudah. NIZ tidak bersetuju kerana dia berasa malu dan tak manis dipandang oleh orang taman katanya.
Keadaan ini berterusanlah selama lebih daripada setengah tahun, sehingga pada suatu hari aku telah mengambil cuti sakit kerana demam dan tidak larat bekerja. Jadi awal-awal lagi aku sudah menghantarkan sms memberitahunya berkemungkinan aku tidak dapat menghantarnya pulang pada hari itu. Walau bagaimanapun, jika ada yang mengganggunya jangan teragak-agak untuk terus menelefon aku. NIZ hanya mengiyakan sms aku.
Lega dengan jawapan NIZ aku menggunakan cuti sakit aku itu dengan sebaik-baiknya, iaitu tidur! Memang pulas betul lah tidur aku tu tanpa gangguan, sebab rakan serumah aku yang tiga orang lagi tu masih bekerja. Kebiasaannya selepas habis bekerja mereka akan singgah di kedai berhampiran rumah untuk makan terlebih dahulu sebelum pulang.
Ketika aku terjaga daripada tidur aku tu jam sudah menunjukkan ke angka 10.05 malam. Lega aku apabila mendapati handphone aku tidak menerima apa-apa sms daripada NIZ. Ini bermakna dia berada dalam keadaan baik-baik sahaja.
Namun sangkaan aku meleset, kira-kira jam hampir ke pukul 10.15pm, sedang aku berpisat-pisat di tempat tidur, aku menerima satu panggilan daripada NIZ.
" Hello! Hai.. akak okay ke? "
" Hello.. Mie, tolong..."
Terkejut mendengar suara NIZ yang macam sedang dalam ketakutan itu, aku dengan cemas, bertanya lagi:
" Akak... is everything, okay ? "
Namun jawapan yang aku terima amat mengejutkan sekali. Tergamam aku seketika dengan apa yang diberitahu oleh NIZ...
" Ini bukanlah maksud aku bila aku memberitahu kepadanya, jangan teragak-agak untuk telefon aku jika ada yang mengganggu! Kalau dengan orang aku berani lagi tapi......
"Mie ... Tolonggg akakk... Ada HANTU kat SINI !!!! "
Gulpp....
Telan air liur aku mendengarkan jawapan NIZ. Apa nak buat hadap sahaja lah. Setelah mengarahkan NIZ untuk berpatah balik ke hadapan pintu masuk pasaraya, aku terus tergesa-gesa menyarung seluar panjang dan baju. Sebelum keluar dari rumah sempat juga aku menyambar buku surah Yasin di atas TV. Aku terus hidupkan enjin motosikal, lantas berlalu pergi dengan seribu macam persoalan dan perasaan.
Sepuluh minit kemudian, aku tiba di hadapan pasaraya lalu mata aku melilau mencari NIZ. Di hujung satu sudut tangga berdekatan dengan pintu masuk pasaraya yang telah berkunci, aku terlihat dia sedang duduk menangis dengan muka yang pucat lesi. Kasihan aku melihatnya.
" Jom.. Mie hantarkan akak balik.."
Tidak menolak ajakan aku pada kali ini, NIZ hanya menganggukkan kepalanya seraya naik ke atas bahagian tempat duduk belakang motor. Perlahan sahaja aku menunggang sambil aku bertanya kepadanya, di manakah dia telah melihat kelibat hantu itu tadi ?
Itu dia, di hadapan aku NIZ menunjukkan tempat di manakah dia telah melihat kelibat HANTU yang berterbangan tadi. Jantung aku berdegup kencang kerana memang aku ada melihat 'sesuatu' yang sedang terbang.
Baca Juga :
Sekejap tinggi, sekejap rendah dan sekejap bergerak ke arah kiri dan kanan. Walaupun aku merasakan sedikit perasaan gementar, aku cuba amati betul-betul apa sebenarnya benda itu. Kerana aku merasa sedikit curiga.. setelah benar-benar aku telitikan, ternyata benar sangkaan aku dan aku terus ketawa besar..
Hahaha..... hahaha.. HAHAHA.....
Apakah sebenarnya yang telah dilihat oleh NIZ sehingga dia menyangkakan kelibat tersebut adalah HANTU??
Sebenarnya, apa yang dilihat oleh NIZ itu bukanlah hantu melainkan cahaya lampu pentas yang selalu digunakan di tapak 'funfair '. Cahaya itu berfungsi untuk menarik pengunjung yang tinggal agak jauh daripada tapak funfair. Kebetulan rumah NIZ itu terletak dalam lingkungan yang masih terjangkau oleh cahaya lampu tersebut.
Sehingga kini apabila aku membangkitkan hal ini kepada NIZ pasti dia akan tersipu malu. Dan aku hanya mampu tersengih, sebab malam kejadian tu, sebenarnya aku dah rasa kecut sedikit juga. Sahaja nak beritahu anda semua. Haha...
Walaupun cerita yang aku sampaikan ini, bukanlah benar-benar tentang penampakan hantu yang sebenar namun peristiwa ini benar - benar terjadi dan telah menjadi salah satu daripada peristiwa yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayat aku.
Pengajaran hidup yang kita boleh ambil daripada kisah ini ialah jangan sesekali kita berasa takut kepada sesuatu perkara yang kita sendiri belum pasti kesahihannya. Kita juga haruslah berpegang teguh kepada ajaran agama kerana tiada apa-apa pun yang mampu menandingi kekuasaan Allah.
Sebelum mengakhiri penulisan ini, aku berharap anda semua telah terhibur dengan cerita yang telah aku sampaikan ini. Jika ada sebarang pertanyaan bolehlah tinggalkan pesan di ruangan komentar.
Semoga kita bertemu lagi dalam siaran yang akan datang. Assalamualaikum!
Nota kaki :
✅ Cerita ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi penulis.
✅ Cerita di dalam koleksi ini adalah untuk tujuan berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan bagi mereka yang berminat dengan cerita mistik sahaja.
✅ Sesetengah nama orang dan nama tempat terpaksa penulis tukar untuk menjaga aib orang yang terlibat.
Terima kasih semua...
Ulasan