Assalamualaikum,
Kepada pembaca blog yang disayangi,
Rasanya masih belum terlambat lagi buat diri aku untuk mengambil kesempatan ini, mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 tahun. Malaysia Madani : Jiwa Merdeka.
Buat pengetahuan anda semua, bila tiba sahaja hari merdeka, aku pasti teringatkan kenangan lalu sewaktu menonton wayang 1957: Hati Malaya di tahun 2007 dahulu. Filem hebat arahan sutradara Suhaimi Baba dan dibintangi oleh barisan pelakon berbakat besar seperti Rusdi Ramli, Maya Karin, Sharifah Amani dan Adlin Aman Ramli masih segar dalam ingatan aku.
Rasanya filem itulah yang menjadi pencetus atau pun 'turning point' kepada diri aku untuk menghayati dan meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia ini pada setiap tahun. Jika sebelum itu, aku sekadar menyambutnya sebagai hari cuti umum biasa sahaja. Tanpa ada makna apa-apa. Filem ini memberikan sejuta makna kepada diriku.
Jalur gemilang kebanggaan rakyat Malaysia |
Tahniah! aku ucapkan kepada tenaga kerja dan para karyawan seni yang telah menjayakan filem bertemakan sejarah kemerdekaan itu. Lebih banyak filem seperti ini seharusnya dihasilkan untuk membantu memupuk semangat patriotisme dan semangat cintakan negara.
Terima Kasih juga aku ucapkan kepada semua pemimpin daripada kerajaan yang terdahulu sehinggalah yang ada sekarang ini kerana menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman. Rakyatnya rata-rata masih terbela dan lebih baik nasibnya jika kita hendak bandingkan dengan negara lain yang lebih besar. Biar kecil negaranya tidak mengapa, asalkan besar jiwa para rakyatnya.
Baca Juga Meneroka Negara Terkaya Di Asia Tenggara
Jika ditanya mengapa macam agak sedikit terlewat untuk aku membuat ucapan seperti ini, aku pun tidak pasti apakah jawapan yang perlu diberikan. Tapi jauh di sudut hati rakyat jelata aku ini, ingin menghasilkan atau mencipta sebuah ucapan yang hebat untuk ibu pertiwi tercinta ini. Namun harus aku akui aku tidak mempunyai kemampuan itu. Aku bukanlah seorang ahli pujangga yang bijak memainkan kata-kata, dan aku bukan juga seorang ahli silap mata yang hanya perlu memetik jarinya untuk menghasilkan sebuah ucapan hebat yang mampu memukau ramai pembaca. Aku hanya seorang rakyat jelata ; marhaen lagi.
Untuk itu, rakyat jelata ini akhirnya menyedari bukanlah kehebatan kata-kata sahaja yang mampu memberikan ucapan yang bermakna kepada negara Malaysia ini, tidak juga sumbangan yang besar dari segi wang ringgit mahu pun tenaga. Tapi kita seharusnya menumpukan seluruh taat setia kita kepada negara Malaysia ini, andai benar kita menyayanginya. Hadiah sepatah kejujuran dan ketulusan yang lahir daripada hati, adalah lebih baik daripada segunung intan permata yang mampu kita hadiahkan kepada negara.
Oleh itu, ayuh rakyat Malaysia kita terus mempertahankan kemerdekaan yang kita masih miliki ini, hadiah daripada pejuang bangsa terdahulu dengan seluruh kekuatan yang kita miliki. Insyaallah, anak cucu kita nanti juga akan turut sama merasakan nikmatnya hidup di dalam sebuah negara yang merdeka.
Ucapan dari aku seorang rakyat jelata.
Terima Kasih, Malaysia!!
Semoga kita berjumpa disiaran yang akan datang. Assalamualaikum.
Nota penting:
✅ Ucapan kemerdekaan ini turut aku dedikasikan kepada NIZ. Rdhtsyt- Hujung dunia kita berjumpa; tiket wayang ini telah disponsor oleh NIZ ; pawagam KLCC
✅Walaupun pada ketika dia hendak membayar tiket, tiba-tiba harga tiket telah jatuh ke 'gold class', si dia tetap meneruskan azam untuk membelanja diri aku ini, menggunakan elaun belajarnya ketika itu. This film worth the money!
👍Good job, NIZ 🌹
Ulasan