Assalamualaikum.
Hai.. apa khabar pembaca blog semua?
Terima kasih atas segala sokongan yang telah diberikan terhadap blog ini. Aku doakan anda sentiasa sihat walafiat. Amin!
Kisah Seram! Tangan Misteri Menarik Kaki Aku Di Dalam Sungai:_
Pada hari ini aku menyambung penceritaan kisah mistik yang seterusnya ini, yang memang benar-benar berlaku di zaman aku masih kanak-kanak dahulu.
Para pembaca sekalian,
Kata orang zaman kanak-kanak adalah waktu yang paling gembira di dalam hidup seseorang. Mana tidaknya sewaktu kita kecil dahulu, kita tidak perlu memikirkan sebarang masalah. Hanya keseronokan menghabiskan masa bersama kawan-kawan sahaja yang difikirkan.
Aku juga tidak terkecuali, hehehe... Manisnya apabila mengenangkan kembali kenangan sewaktu masa kecil dahulu. Aku yakin anda semua pun begitu, kan?
Namun semua itu berubah sewaktu aku berumur sepuluh tahun. Seperti tahun-tahun sebelumnya, tiap kali bila tiba sahaja musim cuti akhir tahun penggal persekolahan di hujung bulan November setiap tahun, sekolah akan ditutup sehingga akhir tahun.
Waktu ini adalah waktu yang paling ditunggu-tunggu sekali oleh sekelian murid-murid. Termasuklah diriku ini. Ini kerana, setiap kali tibanya cuti akhir penggal ini, papa akan menghantarkan aku ke kampung untuk menghabiskan masa cuti sekolah aku bersama atuk dan uwan.
Memang seronoklah cerita dia dapat lepas daripada pemerhatian papa dan mak aku. Lebih best lagi atuk dan uwan aku ni memang rapat sangat dengan semua cucu-cucunya. Memang dimanjakan habis-habisan.
Rumah Atuk aku ni pula walaupun tidaklah besar mana pun, tetapi rumah Atuk aku ni terletak di atas sebidang tanah yang luas. Di bahagian belakang rumah atuk aku ni ada satu kolam ikan yang yang seluas mata memandang. Memang besar sangat kolam ikan atuk aku ni. Bermacam-macam jenis ikan ada.
Walaupun mempunyai kolam ikan yang lumayan luas, seingat-ingat aku atuk aku ni tak pernah pula menjual ikan-ikan beliau tu. Jika ada penduduk kampung yang mahu kan ikan, tinggal minta izin atuk untuk mengail atau menjala. Terus confirm diberi green light.
Senang cerita memang tak kedekut lah atuk aku ni. Itulah mungkin salah satu sebabnya beliau memang sangat dihormati oleh para penduduk kampung.
Di kampung ni, aku ada lima orang lagi kawan. Mereka semua bersekolah di sebuah sekolah di Kuala Kepis. Walaupun aku dan mereka tak sama sekolah, namun itu semua langsung tidak menjadi halangan terhadap persahabatan yang terjalin diantara kami.
Dulu-dulu mana ada telefon bimbit, jadi kami bertanya khabar masing-masing melalui surat sahaja. Mana puas kan? Jadi bila dah dapat berkumpul beramai-ramai ni faham-faham sahajalah, banyaklah perkara yang nak di sembangkan.
Masa berkumpul inilah yang kami gunakan sebaik-baiknya untuk merancangkan apakah aktiviti-aktiviti yang boleh kami lakukan untuk mengisi masa. Ya lah kalau masa-masa cuti ni duk lepak rumah saja pun bosan kan?
Lantaran itu, macam-macam idea lah yang di lontarkan. Ada yang mencadangkan memancing, melastik burung, buat rumah atas pokok, main kombat-kombat ala-ala rambo dan macam-macam lagi.
Nak dijadikan cerita, suatu hari entah macam mana Iskandar ataupun yang mesra di panggil Is, ketua group kami yang berenam ni mencadangkan kami untuk pergi mandi sungai. Memandangkan pada masa tu, cuaca pun memang agak terik, memang best la kalau dapat pergi berendam.
Cadangan Is yang memang brilliant ni tidak mengambil masa yang lama untuk kami menyetujuinya, namun mendengarkan tempat yang dicadangkan oleh Is tu yang membuatkan bulu tengkuk aku dan rakan-rakan yang lain tiba-tiba meremang.
Melihatkan muka kami yang cuak hanya membuat kan Is tersenyum.
" Nape tak berani ke? Anak jantan kena lah berani!! " Is bertanya..
Sebelum tu mari aku jelaskan dahulu di manakah letaknya tempat yang Iskandar kawan aku ni cadangkan. Tempat yang dicadangkan oleh Is ni tak jauh jaraknya daripada rumah atuk aku. Secara tepatnya sebuah anak sungai yang terletak di hujung kolam milik atuk aku, tetapi tempatnya agak tersorok sikit berhampiran dengan sebuah hutan kecil.
Baca Juga Pengalaman Mistik : Arwah Atuk Memperkenalkan Aku Kepada Tetamu Yang Tidak Dapat Dilihat
Ada penduduk kampung yang mendakwa pernah melihat jejak harimau di kawasan berhampiran hutan tersebut. Perkara yang membuatkan kami meremang bukanlah kerana cerita mengenai harimau tersebut sahaja, tetapi mengikut kepercayaan ramai penduduk kampung kawasan tersebut agak 'keras' dan ada penjaganya.
Oleh kerana itu, setiap anak-anak kampung memang sering diingatkan jangan bermain berhampiran dengan kawasan tersebut.
Tapi dah namanya pun kanak-kanak, perasaan takut sedikit demi sedikit mulai terhakis apabila membayangkan keseronokan mandi sungai. Tambahan pula aku pun tertanya-tanya dan 'curious' juga tentang apa sebenarnya yang ada di kawasan itu sehingga ianya dikatakan keras.
Lagipun kami berenam kan? Apa ada hal! apa nak takut! Mungkin inilah masanya yang tepat untuk aku mencari tahu apa yang ada di sana, kan? Tanpa berlengah lagi aku pun bersetuju.
Melihatkan aku yang setuju dengan cadangan si Is tadi semua rakan-rakan yang lain perlahan-lahan mula menyetujui cadangan Is. Tersenyum lebar member bila semuanya dah sepakat.
Disingkatkan cerita, kami semua pun memulakan perjalanan menuju ke kawasan anak sungai tersebut. Perjalanan daripada rumah Is yang menjadi tempat kami berkumpul, ke lokasi tujuan kami memakan masa hampir dua puluh lima minit.
Tercungap-cungap juga kami berenam yang hanya berjalan kaki ditambah lagi dengan cuaca terik matahari. Bahangnya tu sangat menyucuk kulit kami ni. Tak hairan pun sebenarnya sebab Malaysia ni memang iklim dia panas dan lembab. Tapi cuaca panas pada hari berkenaan lain macam panasnya. Namun cuaca panas yang kami rasakan tiba-tiba hilang sebaik tiba di destinasi yang dituju.
Di hadapan kami terbentang anak sungai yang sangat cantik yang belum pernah Kami lihat. SubhanAllah! Maha suci Allah!.
Jujur kalau aku mengatakan tidak pernah aku melihat sungai yang seindah ini. Airnya mengalir tenang dan air sungai ini sangat jernih sehingga jelas kelihatan anak-anak ikan yang berenang melaluinya. Cuaca di sini terasa sangat sejuk mungkin sebab masih dilindungi oleh hutan-hutan yang masih dara, jarang dilalui orang.
Jika ada pun mungkin beberapa orang tua di kampung kami terutamanya Pak Seman Obat, yang mencari akar-akar kayu yang memang banyak terdapat di hutan berhampiran. Mungkin disebabkan jarang dilalui banyak orang kecuali yang mempunyai kepentingan, membuatkan kawasan ini masih terpelihara dengan baik.
Melihatkan keindahan alam yang terbentang luas di hadapan mata, kami tidak berlengah-lengah terus terjun ke dalam sungai itu. Nikmat sungguh rasanya, bila tubuh badan terasa seakan-akan dibelai oleh dinginnya air sungai itu.
Baca Juga Kisah Seram! " Cikgu... Kenapa Dengan Milah Tu??"
Kami bersuka ria berenang dan menyelam sepuas-puasnya. Kami juga turut beradu siapa yang boleh menyelam sambil menahan nafas lebih lama. Dunia seakan milik kami. Jauh dari hiruk pikuk manusia yang lain.
Iskandar juga ada mengingatkan kami semua supaya berenang tidak jauh dari tebing. Kami mengiyakan sahaja, kerana walaupun kami semuanya sebaya beliau merupakan rakan yang paling tua ikut bulan kelahiran. Selain penampilannya yang sedikit matured, membuatkan kami menghormati dan mengakui dia sebagai ketua kumpulan kami.
Akan tetapi benarlah seperti kata-kata orang tua-tua zaman dahulu, bahawa sememangnya malang itu tidak berbau. Aku masih ingat lagi pada masa itu aku yang berasa agak keletihan, mengambil keputusan untuk berehat sebentar di atas tebing sungai.
Ketika sedang meneguk air kosong bekalan yang kami bawa, aku sempat mengerlingkan pandangan aku ke arah jam tangan bentuk kepak Batman pemberian mak long aku. Waktu ketika itu hampir merangkak ke pukul lima petang. Ini bermakna sudah lebih daripada dua jam kami mandi di sungai berkenaan.
Tak terasa cepat sangat waktu berlalu. Patutlah perut aku dah mula memainkan lagu keroncong, sebab seingat aku pagi tadi aku hanya sempat menjamah sekeping roti yang disapu dengan kaya dan menghirup secawan teh sebelum bergerak ke rumah abang Is.
foto kredit kepada pexel.com |
Ketika memikirkan perut aku yang lapar itulah tiba-tiba mata aku terarah ke bahagian sungai tidak jauh daripada rakan-rakan aku yang lain yang masih berada di dalam sungai. Aku terlihat seperti ada sesuatu yang dihanyutkan oleh air sungai dan bergerak ke kiri dan ke kanan.
Aku yang merasa tertanya-tanya apakah bendanya tu, terus terjun semula ke dalam sungai untuk memastikan apakah sebenarnya yang telah aku lihat. Masa itu aku tidak merasa takut ke apa ke cuma curious nak tahu apa yang aku nampak tu. Melihatkan aku yang berenang sudah jauh daripada rakan-rakan yang lain, dan hampir ke tengah sungai, abang Is meneriak :
" Mie... Jangan jauh sangat! Cepat pusing balik! Cepat...
Ketika mendengar suara Iskandar memanggil aku supaya kembali, sebenarnya sudah agak terlambat untuk aku berpatah balik. Ini kerana aku baru menyedari benda yang aku lihat itu sebenarnya hanyalah sebuah bakul bubu yang selalunya digunakan untuk menahan ikan.
Namun terdetik juga dihati aku, kalau bubu itu benar-benar hanyut pastilah ia akan tersidai di tepi tebing ya tak? Bukannya bergerak ke kiri dan ke kanan macam ada sesuatu yang menggerakkannya.
Tiba-tiba... aku merasa seram sejuk dan sebaik tangan aku menyentuh sahaja bakul itu, aku merasakan kaki aku seakan-akan di tarik ke dalam sungai. Ada sesuatu yang memegang bahagian pinggang aku, yang bila aku toleh ke bawah dalam keadaan cemas itulah, baru aku perasan seperti ada sepasang tangan hitam yang berbulu berusaha menarik aku ke dalam sungai.
Sepasang tangan misteri yang menarik aku ke dalam sungai itu sudah hampir berjaya menenggelamkan aku. Tapi aku terus meronta-ronta melawan. Masih aku dapat rasakan sehingga sekarang bagaimana rasanya bila nyawa seakan-akan sudah berada benar-benar berada dihujung.
Ini kerana setiap kali aku meronta lebih kuat, lebih kuat pula tangan yang ingin membawa aku ke dasar sungai. Di saat aku hampir- hampir mengalah itulah aku terdengar suara abang Is melaungkan azan. Kemudian diikuti oleh rakan-rakan aku yang lain turut melaungkan azan. Selepas itu aku tidak dapat mengingati apa lagi yang berlaku.
Ketika aku membukakan kembali mata, aku sudah berada di atas pangkin kayu yang berada di halaman rumah atuk. Aku tersedak dan terasa banyak air yang keluar daripada mulut aku. Mungkin semasa hampir lemas itu aku tertelan banyak air.
Di satu sisi aku melihat atuk, uwan dan mak ngah merah mata mereka kerana menangis melihatkan keadaan aku. Di satu sudut yang lain aku melihat kesemua rakan aku ada bersama bapa masing-masing. Semuanya terdiam membisu.
Apakah Yang telah Berlaku
Mengikut ceritanya dalam keadaan cemas semasa waktu kejadian di sungai itu, keadaan kembali reda selepas rakan-rakan aku melaungkan azan. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan mereka berlima telah sama-sama mengangkat aku sehingga ke halaman rumah atuk.
Apa yang lebih memelikkan mereka mendakwa tidak nampak sebarang bakul mahupun bubu seperti yang aku lihat semasa kejadian berlaku. Mereka semua hanya ternampak aku tiba-tiba meronta-ronta seolah-olah mahu melepaskan diri daripada sesuatu.
Menurut orang tua-tua di kampung itu kemungkinan aku di tarik oleh hantu air. Allahualam! Tak dapat pula aku mengesahkan kesahihannya. Namun itulah yang terjadi.
Selepas daripada kejadian itu, kami semua tidak lagi berani menjejakkan kaki ke tempat kejadian. Lagipun kami sudah berjanji tidak akan ke sana lagi. Teruk kami dimarahi oleh ibu dan ayah masing-masing. Masak weh telinga.
Mereka mengatakan aku amat bernasib baik kerana tidak meninggal di tempat kejadian dan tindakan cepat yang dilakukan oleh rakan-rakan yang lain untuk membawa aku segera pulang mungkin telah membantu menyelamatkan nyawa aku.
Pada diri aku sendiri, aku merasakan sangat bersyukur kerana masih diberikan usia yang panjang. Belum ajal aku lagi pada masa itu. Aku merasa terhutang budi sangat-sangat dengan semua rakan-rakan aku tu.
Sehingga kini walaupun peristiwa itu sudah hampir lebih dua puluh tahun berlalu ianya masih segar didalam ingatan aku. Setiap kali aku mengingati kejadian itu membuatkan aku semakin rasa bersyukur kerana Allah masih memberikan umur yang panjang terhadap aku. Alhamdulillah!
Selain itu peristiwa itu juga menjadikan aku seorang yang sangat fobia dengan sungai dan laut. Masih lagi terasa tangan misteri yang pernah memaut pinggang aku suatu ketika dahulu.
Kini, apabila aku membaca banyaknya kes mati lemas melibatkan kanak-kanak aku merasa sedih. Ambillah iktibar daripada kisah aku ini.
Kepada ibubapa dan penjaga sentiasalah pantau anak-anak supaya mereka tidak terlepas daripada pemerhatian anda.
Kepada anak-anak pula dengarlah nasihat ibubapa dan penjaga anda. Jangan jadi macam aku, degil mendengar nasihat orang tua hampir membawa padah.
Semoga perkongsian pengalaman aku ini bermanfaat bagi orang lain. Sesungguhnya salah satu tanda orang beriman ialah orang yang boleh memberikan manfaat kepada orang yang lain.
Semua yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk itu daripada aku. Hingga kita berjumpa di siaran yang akan datang.
Ulasan