Kisah Seram Mistik : Papan Ouija? Spirit- Spirit Of The Coin? Apakah Sebenarnya Yang Berlaku Kepada Nur Aurora??
Assalamualaikum,
Kepada pembaca blog yang dikasihi semua... Terima kasih kerana sudi singgah di blog aku ini, terima kasih juga atas sokongan anda semua yang tidak berbelah bahagi terhadap blog ini.
Kisah Seram Mistik : Papan Ouija? Spirit - Spirit Of The Coin? Apakah Sebenarnya Yang Berlaku Kepada Nur Aurora??:_
Sebentar tadi selepas sahaja mengepos entry terbaru aku di blog, ingatkan nak relax-relax sekejap la. Sambil aku duk relax tu tangan aku pun sibuk scroll handphone, cadangnya nak cari papan landas yang baru. Papan landas lama kat dapur aku tu dah uzur sangat keadaannya. Jadi aku pun taip la papan landas sebagai kata kuncinya untuk aku dapatkan pilihan yang terbaik. Tapi , salah satu search results yang keluar tu amat menarik perhatian aku. Tertera di layar telefon aku itu 'papan ouija'.
Berderau darah aku ni rasanya. Aku tak sangka ada juga orang yang berani menjualnya. Sebelum tu ada baiknya aku menjelaskan secara ringkas apakah dia ni 'papan ouija' ? Papan ouija ni mengikut pengalaman dan pengetahuan cetek yang aku miliki ni, secara mudahnya bolehlah kita kategorikan ianya sebagai sebuah permainan board game.
Tetapi apa yang membezakan permainan ini dengan permainan board game yang lainnya ialah di dalam permainan ini para pemainnya akan menyeru semangat atau roh-roh yang ada berdekatan untuk turut sama menyertainya.
Setelah itu para pemain bolehlah menanyakan soalan-soalan yang mereka ingin tanyakan kepada roh atau semangat yang telah hadir itu tadi.
Maknanya dalam game ini para pemain akan menyeru hantu atau makhluk halus lah kan?
Anda rasa anda sudah cukup BERANI untuk bermain permainan ini?? Cuba komen sikit...
Foto kredit kepada Pexel.Com |
Apakah Yang Terdapat pada Papan Ouija?
Kebiasaannya, di atas permukaan papan ouija ini akan tertulis huruf A-Z, nombor 0-9, perkataan YES, perkataan NO dan HOME. Para pemain selalunya akan meletakkan jari telunjuk mereka ke atas suatu objek (biasanya syiling lama ), lebih tua usia duit syiling itu lebih baik.
Setelah itu para pemain akan membaca mantera yang telah ditetapkan oleh ketua pemain. Mengikut cerita yang aku dengar melalui orang-orang yang pernah memainkan permainan ini, kebiasaannya mantera akan dimulai dengan perkataan " spirit -spirit of the coin... kemudian diikuti oleh mantera dan seterusnya soalan yang ingin ditanyakan.
Oleh sebab itu, waktu aku masih dibangku persekolahan dahulu permainan ini digelar ' spirit - spirit '. Syiling lama ini akan bergerak dengan sendirinya apabila roh atau semangat yang dipuja telah hadir.
AWAS❗❗ kepada para pemain, DILARANG sama sekali melepaskan kedudukan jari mereka yang berada di atas syiling selagi mana ianya tidak bergerak kembali ke petak yang bertanda HOME.
Ini kerana mengikut kepercayaan para pemainnya, sekiranya jari dilepaskan daripada permukaan syiling sebelum ia kembali ke petak HOME nasib yang malang akan menimpa pemainnya. Sama ada benar atau pun tidak dakwaan tersebut, aku pun tidak dapat mengesahkannya.
Benar atau pun tidak pernyataan itu tidaklah pula aku ketahui kerana aku tidak pernah memainkan permainan ini.
Ramai juga rakan-rakan yang mengajak aku bermain permainan ini bersama semasa aku tinggal di asrama waktu berada di tingkatan empat dahulu. Namun selalu aku menolaknya dengan alasan yang baik.
Baca Juga Kisah Seram! Tangan Misteri Menarik Kaki Aku Di Dalam Sungai
Setelah banyak kali menolak ajakan kawan-kawan untuk memainkan permainan ini, mereka tidak pernah lagi mengajak aku bermain. Pernah juga aku digelar pengecut oleh rakan-rakan aku tu, tapi aku tak pernah berkecil hati.
Jika ditanya sekarang mengapa aku menolak untuk memainkannya sewaktu dahulu pun aku masih tidak mempunyai jawapannya. Entah lah, mungkin benarlah aku ini seorang yang penakut. Ha..ha..ha..
Aku harapkan dengan penerangan aku yang panjang lebar tentang permainan ini, anda semua dapatlah memahami sedikit sebanyak tentang perkara asas game ouija ni. Apa pendapat anda semua ?
Masih berani untuk cuba-cuba memainkannya? Memang benar kata orang, berani kerana benar tapi berani pun harus bersebab juga, bukan boleh membuta-tuli sahaja kan?
Permainan ini sudah jelas-jelas di luar norma. Ada sebab mengapa Allah menjadikan manusia dan makhluk ghaib ini hidup di dalam dimensi yang berlainan. Mengapa pula kita yang dijadikan oleh Allah sebagai manusia yang sempurna dan mulia dengan akal yang bijaksana, harus menyeru semangat-semangat yang memang berada di tempatnya? Macam sudah tiada kerja lain lagi nak dibuat.
Namun apa yang ingin aku kongsikan dengan anda pada kali ini bukanlah tentang cara-cara bermain papan ouija ni. Pada entry kali ini aku ingin berkongsikan dengan anda semua tentang satu kisah yang ada kaitan juga dengan board game yang satu ini.
Kisah ini kisah benar tapi nama dan tempat kejadian terpaksa aku rahsiakan untuk menjaga aib orang yang berkenaan. Semoga ianya dapat membantu dan memberikan kita pelajaran dan pengajaran yang bermanfaat.
🟥 Ini Ceritanya...
Para pembaca yang dirahmati,
Pernah pada satu ketika dahulu, di sekitar tahun 2003, ketika itu aku berusia lapan belas tahun. Aku yang pada ketika itu yang baru sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) , telah pulang semula untuk kembali menetap bersama papa dan mak aku di sebuah perkampungan Felda di dalam daerah Jempol, Negeri Sembilan.
Seperti kebiasaan pelajar-pelajar yang lain yang dah habis SPM, aku juga bercadang untuk mencari pekerjaan sementara sebelum melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam atau pun swasta dalam negara. Namun disebabkan aku masih belum mempunyai rezeki lagi untuk bekerja, aku hanya tinggal di rumah bersama mak dan papa aku sambil membantu ibubapa aku ni melakukan kerja-kerja rumah yang patut.
Oh ya lupa pula nak beritahu papa aku ni seorang peneroka felda manakala mak aku ni pula bekerja sebagai seorang operator di sebuah kilang elektronik di Senawang, Negeri Sembilan. Di kampung ini aku mempunyai seorang rakan yang bernama Fie.
Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari si Fie rakan aku ini, datang bertandang ke rumah. Kehadirannya ke rumah memang lah sangat aku alu-alukan sebab aku pun dah mula bosan duduk di rumah. Kerja pun belum dapat lagi ni.
Walaupun kedatangan kawan aku ni disambut dengan rasa yang gembira, tetap juga terdetik kat dalam hati aku ni perasaan yang sedikit pelik. Ini kerana selalunya aku lah yang datang ke rumah Fie ni untuk melepaskan rasa bosan duk bersarang di rumah.
Kami selalunya akan berborak-borak dan menyanyi sambil bermain gitar. Memang pandai Si Fie ni bermain gitar kerana ayahnya juga merupakan seorang pemain gitar di dalam sebuah kumpulan kugiran di kampung kami.
Baca Juga Pengalaman Mistik : Arwah Atuk Memperkenalkan Aku Kepada Tetamu Yang Tidak Dapat Dilihat
Lagi satu perkara yang membuatkan aku merasa pelik, wajah Fie yang selalu dihiasi senyuman kelihatan sedikit keruh dan semacam orang yang sedang memikirkan sesuatu. Setelah mempersilakan Fie masuk ke dalam rumah terus sahaja aku bertanya:
Kenapa kau ni? Macam ayam berak kapur je, aku tengok muka tu.. is everything okay?
Fie pun mula menceritakan apakah yang sedang mengganggu fikirannya dan tujuan kedatangannya ke rumah aku. Panjang lebar lah si Fie ni menceritakan peristiwa yang telah berlaku sampai berlinangan air mata. Aku yang mendengar cerita Fie ni turut merasa sebak mendengarkan cerita daripada Fie ni. Memang tragis ceritanya.
Supaya anda semua lebih faham akan cerita yang disampaikan oleh Fie ni kepada aku, aku akan cuba ceritakan kembali kepada anda semua secara ringkas, agar lebih mudah untuk difahami. Aku juga akan cuba sehabis baik untuk cuba memberikan keadilan terhadap cerita yang pernah Fie ni sampaikan kepada aku di hari kejadian.
Bismillahirrahmanirrahim..
🟥 Cerita Fie Kepada Aku
Buat pengetahuan anda semua, Fie mempunyai seorang rakan yang bernama Nur Aurora. Si Aurora anak Makcik Siti dengan Pak Ali ini memang agak terkenal dengan kecantikan rupa parasnya. Sudahlah cantik apabila mengaji, merdu pula suaranya.
Jadi tidak hairanlah jika Aurora ini sememangnya diminati oleh ramai pemuda-pemuda kampung, tidak hanya di kampung kami malah sehingga ke kampung sebelah. Umur Aurora ni muda setahun daripada Fie yang menjadikan aku tiga tahun lebih tua daripadanya.
Sewaktu tamat belajar di sekolah rendah di kampung kami dahulu, dia telah dihantar tinggal di sebuah sekolah yang menyediakan asrama sebagai tempat tinggal bagi para pelajar yang tinggal jauh daripada sekolah.
Bukan sengaja juga ibubapa dia menghantarnya ke sekolah yang mempunyai asrama. Tapi disebabkan desakan hidup terpaksalah juga dilakukan. Faham-faham sahajalah adik-beradiknya ramai, rumah pula kecil.
Namun baru-baru ini Aurora telah dibawa pulang semula ke rumah oleh ibubapa dia, setelah tiga tahun menetap di asrama tersebut.
Aurora terpaksa dibawa pulang ke rumah kerana keadaannya yang tidak seperti dahulu. Aurora yang dulu cantik berhias, sudah jadi tidak terurus. Tidak mahu mandi, bertindak ganas mencederakan orang lain dan dirinya sendiri.
Dia juga sering meracau-racau dan bercakap sendiri seolah-olah ada orang di sampingnya. Sudah puas ibu dan ayah dia membawakan Aurora untuk berubat, baik secara moden mahupun tradisional. Namun tidak juga sembuh malah semakin hari badannya semakin susut.
Menurut doktor tiada apa masalahnya dengan Aurora ni, sihat tapi berkemungkinan dia mengalami stress. Malah kesnya cuba dilanjutkan ke pakar psikiatri. Ayahnya menolak kerana mahu masih terus mencubamengubat secara kampung.
🟥 Kami Ke Rumah Aurora
Sewaktu kedatangan Fie dan aku ke rumahnya pada petang itu, dapat aku lihat keadaan Aurora yang sudah seperti mayat hidup. Badannya sudah terlalu kurus kerana tidak mahu makan. Pandangannya sudah kosong dan anak matanya sentiasa menghadap ke atas.
Kedua-dua belah tangan Aurora juga terpaksa diikat di kepala katil, untuk mengekang dia daripada mencederakan orang lain dan dirinya sendiri. Makcik Siti memberitahu kepada kami, Aurora juga sudah tidak mengenali sesiapa yang ada disekelilingnya termasuk ibu dan bapanya.
Ya, Allah... apakah yang sedang berlaku sebenarnya? Sedih betul kami melihatnya.
Apakah Sebenarnya Yang Telah Berlaku Kepada Aurora???
🟥 Kronologi Kes
Begini kronologi kes yang berlaku pada Aurora sehingga menjadikan dirinya sedemikian rupa, seperti yang diceritakan kepada aku sewaktu aku datang ke rumah Fie petang keesokan harinya selepas dia pulang daripada sekolah.
Fie memberitahu aku, satu sekolah sudah heboh tentang kes Aurora, semua pelajar yang terlibat bersama Aurora di hari kejadian dia jatuh dan tidak sedarkan diri telah dipanggil menghadap pengetua sekolah dan guru disiplin.
Apa yang lebih mengejutkan, kesemua empat orang daripada mereka mengaku telah bermain permainan 'spirit-spirit' di dalam tandas sekolah. Pada waktu tengah malam! Allahuakbar!
Mereka berlima termasuk Aurora telah bersama-sama memainkan permainan itu, atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru dan mahu menguji keberanian diri masing-masing dalam menyahut cabaran. Terkedu aku mendengarnya.. korang rasa??
Tapi apakah yang menjadikan Aurora jadi begitu sedangkan para pemain yang lain-lain tadi baik sahaja keadaannya??
Salah seorang daripada pemain papan Ouija tersebut mendedahkan, ketika sedang asyik memainkan permainan tersebut, semangat yang hadir pada ketika itu tidak mahu pulang.
Baca Juga Kisah Mistik : Apa Yang Tak Kena Dengan Orang Kat Depan Aku Ni Ya? Astaghfirullah!!!!
Jadi mereka semua termasuklah Si Aurora terpaksalah bermain lagi walaupun masing-masing sudah sangat keletihan, sambil cuba memujuk roh yang hadir supaya kembali ke petak HOME.
Mereka teruskan bermain dan bermain sehinggakan di dalam keadaan letih itu, entah macam mana jari Aurora ini boleh terlepas daripada wang syiling lama yang yang menjadi tempat mereka meletakkan jari itu.
Mereka mendakwa sebaik sahaja jari si Aurora ini tadi tergelincir daripada kedudukan wang syiling tersebut, dia telah menjerit seolah-olah dalam kesakitan dan terus tidak sedarkan diri.
Para pemain juga ada mencadangkan supaya permainan tersebut dimainkan semula oleh mereka dalam usaha untuk menghantarkan kembali roh yang kononnya telah mengikuti Aurora ini pulang ke tempat asalnya.
Walau bagaimanapun, cadangan ini telah mendapat tentangan daripada beberapa orang guru yang mengatakan perkara tersebut syirik. Cerita ini kemudian telah sampai ke pengetahuan ayah Aurora dan rakan ayahnya itu. Menurut cerita yang Fie dengar ayahnya dan beberapa penduduk kampung telah sepakat untuk memainkan semula permainan itu di rumah Aurora, dalam usaha mereka memulihkan semula Aurora seperti sediakala.
Namun belum sempat usaha itu dijalankan, Aurora sudah pergi menghadap Allah yang maha esa. Tempoh masa daripada tarikh dia bermain permainan ini sehingga ke hari kematiannya hanya mengambil masa, kurang daripada tiga minggu. Kes kematiannya pula diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sehingga kini misteri yang mengiringi kematiannya tetap belum terjawab. Tiada siapa yang tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku terhadap Nur Aurora. Cuma yang di ketahui kematiannya ada kena mengena dengan permainan papan Ouija ini.
Tentang kesahihannya, tiada siapa yang tahu melainkan Allah SWT. Walaupun begitu kita sebagai seorang manusia yang masih bernafas ini boleh mengambil iktibar daripada kejadian yang telah menimpa Nur Aurora.
Tidak salah jika kita mempamerkan keberanian diri dalam menyahut cabaran, namun biarlah pada perkara yang bermanfaat bukan pada perkara -perkara yang lagha, yang sudah tentu merugikan diri kita sendiri. AL- Fatihah buat arwah.
Semoga perkongsian cerita pengalaman ini bermanfaat kepada anda semua dan semoga kita berjumpa di siaran seterusnya.
Ulasan